Tuesday 7 May 2013

Berjayakah Dato' Seri Najib Tun Razak?


Berjayakah Barisan Nasional?

Sebelum aku mulakan lebih panjang, aku nak ucap tahniah kepada semua rakyat Malaysia yang telah menunaikan tanggungjawab mengundi pada 5 Mei 2013 hari tu. Penting tu undi kita, kalau dah layak tapi tak daftar mengundi atau tak mengundi, dah jadi macam ada seluar tapi pergi town jalan hanya pakai spender saja…opss..spender ni sensitif. STOPa!

BN dah pun berjaya menubuhkan kerajaan persekutuan dengan majoriti mudah dengan memenangi 133 kerusi Parlimen dan menawan kembali Kedah. BN gagal mengambil semua Selangor, Penang dan Kelantan.

Semua pun tau, 133 tu adalah jumlah yang lebih rendah dari Perdana Menteri sebelum ni dalam PRU ke 12 tahun 2008. Masa tu Pak Lah menang 140 kerusi Parlimen. Perbezaan undi popular jugak meningkat, dengan Pakatan Rakyat melebihi 0.5 juta dari BN.

Adakah ini kemenangan?

Betul la menang dan jadi Perdana Menteri, tapi adakah satu kemenangan yang boleh dibanggakan.

Dalam tulisan ni, aku akan cuba menyingkap disebalik kemenangan tipis ini dan siapa yang harus dipersalahkan. Harus diingatkan, aku adalah penyokong UMNO tegar. Aku pernah menyokong Anwar Ibrahim ketika Reformasi 1998, pernah ikut serta perarakan, tetapi kembali ke pangkal jalan menyertai UMNO tapi tak pernah berceramah memburukkan Anwar di mana-mana pentas. Kemudian aku jugak terlibat dalam mengempen supaya Pak Lah yang suka tidur di turunkan dan akhirnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib dinaikkan. Jadi, aku bukan penyokong Pakatan, ok.

Sejak mengambil tempat Pak Lah, Najib tidak pernah cuba membuktikan betapa decisive nya dia. Setiap apa yang dia putuskan seolah-olah boleh dibaca dan dilanggar oleh ahli Kabinet dia. Kabinet nya pulak, tak ditukar, seolah-olah dia merelakan dirinya menunggang apa yang telah Pak Lah susun sebelum turun. Sepatutnya, sebagai Perdana menteri baru, Najib perlu mempunyai pasukan sendiri yang boleh memikul hasrat dan tujuan dia. Ni tak, seolah-olah ada disconnect antara dia dan ahli Kabinetnya.

Isterinya jugak terlalu kedepan. Perhatikan Tun Siti Hasmah ketika menjadi isteri Perdana Menteri dulu, atau Tun Jeanne dan Allahyarham Tun Endon ketika Pak Lah jadi PM dulu, takde pulak diorang kedepan sampai mencuri limelight PM. Setiap apa yang dilakukan isteri, akan reflect kepada suami. Orang akan kata laki yang tak tau jaga bini. Ini apply untuk semua manusia di dunia. Jadi kalau isteri pun tak boleh handle, macam mana nak handle ahli kabinet dan negara? Ini yang orang semua cakap.

Cakap-cakap yang kata isteri PM mengambil tahu segala perkembangan berkaitan tugasan PM jugak tak seronok didengar. Ada yang kata beliau ada pejabat sendiri di Kementerian Kewangan, bertujuan mengawal pengagihan projek besar kepada yang berkenaan. Tak tau lah sejauh mana benar salahnya kenyataan ni, tapi sedikit sebanyak ianya menjejaskan kredibiliti Perdana Menteri.

Jadi kesimpulannya, sejak awal lagi Najib telah tunjukkan betapa indecisive beliau sebagai seorang pemimpin. Kalau Pak Lah kita kata Flip Flop…yang ni Flip Flop Flap…

Setiap Perdana Menteri tak bergerak secara sendirian dan berseorangan. Dia memerlukan pasukan yang kuat. Pasukan ni terdiri daripada pegawai dan kakitangan awam yang dilantik oleh Kerajaan di dalam Pejabat Perdana Menteri dan juga pegawai dan kakitangan lantikan politik yang diserap masuk untuk membantu melancarkan perjalanan urusan Perdana Menteri.

Dulu masa zaman Tun Mahathir, kita dapat tengok kakitangan dan pegawai beliau yang cukup bijak dan mendengar cakap. Nama-nama seperti Datuk Noor Azam, Matthias Changm Datuk Aziz Samsuddin adalah cukup untuk menunjukkan betapa Tun Mahathir mementingkan kualiti dikalangan pegawai dan kakitangan beliau. Kesannya Tun Mahathir mengetuai negara selama 22 tahun.

Masuk zaman Pak Lah, dah mula caca marba. Tingkat Empat diketuai Khairy Jamaluddin berperanan mengawal segalanya. Kamaluddin Pak Lah (anaknya) jugak main peranan penting dalam menentukan jatuh bangun mana-mana ahli politik atau tokoh korporat dalam negara. Akibatnya Pak Lah tersingkir.

Zaman Najib pulak, seolah-olah mengulangi zaman Pak Lah, tetapi dengan lebih teruk lagi. Selain isteri beliau yang kita ceritakan tadi, para pegawai beliau pulak menjadi lebih sudu dari kuah. Yang menasihati PM bukannya seorang dua tetapi terlalu ramai. Ada penasihat berdaftar dan ada yang tak berdaftar, apalagi bertauliah.

Bayangkan, Penasihat Media PM saja ada sekitar 5 atau 6 orang. Itu belum kira kumpulan-kumpulan kecil yang dibentuk kononnya untuk memberi nasihat kepada PM. Setiap kumpulan mendapat pembiayaan khusus dari JPM (PMO). Saiz pembiayaan bergantung kepada berapa pandai ketua kumpulan tu membodek PM dengan memberikan hasil kajian atau saranan yang sangat mengula-gulakan PM. Tak ada satu kumpulan pun yang berani bagi feedback yang buruk atau YANG BENAR kepada PM. Percaya atau tidak, ada sekitar 8 kumpulan sebegini di bawah PM Najib.

Itu belum lagi dikira penasihat luar. Kumpulan penasihat Tony Blair dari UK, Profesor Kim dari Korea dan banyak lagi.Jumlah pembayaran untuk mereka ni pula bukan sedikit, mencecah jutaan, malahan di dalam matawang asing!!

Paling utama, penasihat tak berdaftar dan bertauliah, Datuk Seri Jamaluddin Jarjis (JJ) yang bertugas sebagai Duta di USA bertaraf menteri. Setahun sebelum PRU13, JJ pulang dari USA menceritakan kononnya beliau dilantik oleh PM Najib untuk mengetuai gerakan menjelang PRU13.

JJ lah yang mengajar PM Najib supaya menyerahkan segalanya untuk meraih pengundi Cina. Pada JJ orang Melayu tidak susah, hanya diberikan wang ringgit saja. Maka BR1M diberikan. Untuk Cina, sekolah Cina mendapat jutaan peruntukan, dan bermacam benda lagi untuk mempengaruhi mereka. Ini nasihat JJ.

Semua kumpulan kecil penasihat tadi dikawal selia oleh JJ sejak itu. Dan JJ jugak membawa method berkempen yang tak pernah kita saksikan di Malaysia selama ini. Kempen PRU la Presidential Election di USA. Slogan Najib for Malaysia mula kedengaran. Najib for PM.Nama Najib dijual seolah-olah Najib sedang berjuang untuk menang satu pilihanraya berseorangan menentang seorang lagi calon lawan. PRU di Malaysia ialah pasukan melawan pasukan. Pakatan Rakyat berjaya buktikan menjelang PRU13, walaupun dengan beberapa pertelingkahan, mereka terus berjuang atas nama pasukan. Tetapi BN, menjulang nama Najib di dalam setiap kempen hingga melupakan terus pasukan BN.

JJ jugak lah merupakan orang yang bertanggungjawab menggagalkan “Winnable Candidates” Najib. Selama ini Najib bagitau seluruh rakyat Malaysia bahawa calon BN untuk PRU13 ialah “Winnable”, tetapi JJ dan kuncu-kuncunya telah mengubah senarai calon dengan banyaknya untuk meletakkan mereka yang dia yakin akan membantu beliau di Perhimpunan Agung UMNO hujung tahun nanti. Nama calon PRU13 diubah, dan Najib tidak terkata apa-apa.

Setiausaha Politik dan Pegawai Khas Najib pun turut bertanding PRU13. Bayangkan 5 Setiausaha Politik bertanding dan 2 Pegawai Khas!! Siapa nak jaga ground untuk PM?? Padan muka, kalah semuanya kecuali seorang la kot di Kuala Selangor. Tak boleh kah Najib nasihat diorang jangan bertanding? 

Ada jugak kalangan pegawai di pentadbiran Najib yang merupakan re-cond sejak zaman Tun Mahathir. Zaman Pak Lah diorang ni dah kena kick out oleh KJ and the Gang, maka zaman Najib nak masuk balik la. Umur dah jaga cucu kat rumah, tapi sebab kesian dan ihsan, Najib ambik mereka. 

Di Perak pulak, Kamilia menjadi mangsa rakus MB Zambry yang tak mahu kedudukan beliau digugat, lalu tidak memberitahu Kamilia tentang pencalonan beliau untuk kerusi DUN Bukit Chandan. Nama Kamilia diganti dengan orang lain. Datuk Wan pulak diletakkan di kerusi Parlimen Kuala Kangsar, sekaligus menjadikan MB Zambry tidak mempunyai pesaing bagi jawatan Menteri Besar nanti. Sebab itu Kamilia bersumpah bahawa beliau tidak tahu menahu berkaitan DUN Bukit Chandan.

Pentadbiran zaman Najib jugak menyaksikan kemajuan zaman siber. Tak dinafikan, media alternatif di internet serta rangkaian sosial mainkan peranan utama. Maka Najib pun ada Facebook, Twitter, Blog, Email dan macam-macam lagi. Pastinya bukan PM sendiri yang jaga semua ni macam kita rakyat biasa. Ada la pasukan yang menjaga semua ni. Pasukan yang menjaga ni pulak, semuanya syok sendiri. Letak status yang boleh backfire Najib. “Mari lihat saya tunaikan Solat Hajat”. Ada kah patut seorang PM twit sedemikian?

Tak cukup dengan itu, media arus perdana turut digunakan. Kalau RTM tu boleh lah diberi kelonggaran sebab memang ianya milik Kerajaan dan bertujuan menjelaskan polisi Kerajaan. Tapi yang swasta, Media Prima, melebihi pulak. Sampaikan sejam Buletin Utama di TV3, rakyat hanya tonton segmen sukan sahaja. TV9, NTV7 dan TV8 pun dipergunakan, sehingga melenyapkan berita atau kisah yang mempunyai nilai kemanusiaan dan kemasyarakatan. Akibat itu, rakyat mencari berita melalui laman internet. Akhirnya mereka akan sampai ke portal Malaysiakini, Malaysian Insider, Malaysia Chronicle, Free Malaysia Today dan banyak lagi. Portal yang bukan sahaja menyajikan berita tetapi jugak kebencian kepada Kerajaan yang ditunjangi Barisan Nasional. Mereka yang asalnya atas pagar, kini sudah mula cenderung pada pembangkang.

Media cetak pun sama. Utusan tu ok la, kita maklum memang UMNO punya. Ni yang Berita Harian, New Straits Times pun sama. Bukan main pusing semua agenda Barisan Nasional, menyebabkan rakyat lari mencari bahan bacaan alternatif dari internet.

Di internet pula, terdapat dua pihak. Pro pembangkang dan pro Barisan Nasional. Yang pro pembangkang ni, amat terlatih. Tetapi yang pro BN ni, ada kem kem tertentu. Unit Media Baru yang diketuai Tun Faisal tak suka dengan blogger atau lebih tepat cybertroopers tak berdaftar dengan mereka. Ada golongan blogger elitist macam Big Dog, Outsyed the Box, Rocky’s Bru dan beberapa lagi. Ada yang pertengahan macam Helen Ang, Big Cat, Life of Annie dan beberapa lagi. Yang banyak nya ialah yang golongan biasa yang menyajikan bahan bacaan berunsurkan bahasa kesat, lucah dan tak wajar dibaca oleh golongan yang nak mencari ilmu. Orang nak membaca sesuatu yang boleh dihadam menjadi pegangan mereka, bukan kutukan menggunakan ayat kasar. 

Harus diingat bahawa golongan atas pagar ini kebanyakan mereka adalah orang yang berpendidikan. Berpelajaran. Nak memahami sesuatu isu dengan fakta. Bukan makian.

Apa yang disebut di atas semuanya adalah sebahagian dari bukti utama menunjukkan betapa Dato’ Seri Najib tidak mampu mebimbing negara Malaysia menjadi lebih baik dari era Pak Lah. Beliau adalah seorang pemimpin yang baik, tetapi semuanya untuk beliau ‘was served on a silver platter’. Beliau tidak pernah merasai perit jerih naik ke tahap tertinggi itu. Oleh itu beliau tidak mampu menanggung beban yang amat berat ini.

Elok lah kiranya beliau memikirkan untuk meninggalkan tempat tersebut sebelum Barisan Nasional dengan cara pentadbiran beliau hancur. Seandainya cara pentadbiran sedemikian diteruskan, nescaya PRU14 akan menjadi batu nisan bagi BN dan UMNO. (MCA dan MIC telah mendapat batu nisan mereka pada PRU13 ini).

Untuk melepaskan negara ini ditadbir oleh Pakatan Rakyat, jauh panggang dari api. Itu seumpama menyerahkan negara ini untuk dihancurkan. Tetapi untuk melihat Najib Tun Razak merosakkan UMNO dan BN, pun kita tidak sanggup. Oleh itu, kita perlukan pemimpin yang boleh mengembalikan kekuatan kepada UMNO dan BN.



Demi Agama, Bangsa dan Tanahair.

No comments:

Post a Comment